Dengan nama Allah, Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif, Laam, Miim, Saad.
[2]
Sebuah Kitab yang diturunkan
kepadamu (Muhammad). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu
mengenainya, supaya engkau berikan amaran dengannya, dan supaya menjadi
peringatan bagi orang-orang beriman.
[3]
“Turutilah apa yang telah
diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu, dan janganlah kamu menuruti
sebarang sekutu selain Dia. Amatlah sedikit kamu yang mengambil peringatan”
[4]
Dan berapa banyak negeri yang Kami
binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari,
atau ketika mereka beristirahat pada tengah hari.
[5]
Dan tidak ada yang mereka katakan
ketika datang azab Kami kepada mereka, melainkan mereka berkata “Sesungguhnya
kami adalah orang-orang yang zalim”
[6]
Demi sesungguhnya Kami akan
menyoal umat-umat yang telah diutuskan kepada mereka, dan sesungguhnya Kami juga
akan menyoal Rasul-rasul tersebut.
[7]
Demi sesungguhnya Kami akan
ceritakan kepada mereka dengan ilmu, dan sememangnya Kami tidak sekali-kali
ghaib.
[8]
Dan timbangan (amal) pada hari itu
adalah benar. Dan sesiapa yang berat timbangannya, maka mereka itulah
orang-orang yang berjaya.
[9]
Dan sesiapa yang ringan
timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri,
disebabkan mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami.
[10]
Dan sesungguhnya Kami telah
menetapkan kamu di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya penghidupan,
amatlah sedikit kamu yang bersyukur.
[11]
Dan sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu, dan Kami bentukkan kamu, dan Kami berfirman kepada
malaikat-malaikat “Bersujudlah kamu kepada Adam” Lalu bersujudlah mereka
melainkan Iblis, dia tidaklah termasuk dalam golongan yang bersujud.
[12]
Berfirman “Apakah penghalang yang
menghalangimu daripada bersujud ketika Aku memerintahkanmu?” Menjawab “Aku
lebih baik daripada dia, Engkau jadikan daku daripada api sedang dia Engkau
jadikan daripada tanah”
[13]
Berfirman “Turunlah engkau daripadanya
(Syurga), kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya. Dan keluarlah,
sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”
[14]
Berkata “Berikanlah tempoh
kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan”
[15]
Berfirman “Sesungguhnya engkau termasuk
mereka yang diberikan tempoh”
[16]
Berkata “Oleh kerana Engkau
menyebabkan daku sesat, demi sesungguhnya aku akan duduk di jalanMu yang lurus.
[Untuk menghasut]
[17]
Dan aku akan datangi mereka, dari
hadapan mereka dan dari belakang mereka, dan dari kanan mereka dan dari kiri
mereka. Kemudian Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”
[18]
Berfirman “Keluarlah engkau daripadanya
(Syurga) sebagai makhluk yang terhina lagi terusir. Dan sesiapa di antara
mereka yang menurutimu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan kamu
semuanya”
[19]
“Dan wahai Adam! Tinggallah engkau
dan isterimu di dalam Taman ini, dan makanlah sepuas-puasnya apa sahaja yang
kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pohon ini, maka akan menjadilah
kamu dari kalangan orang-orang yang zalim”
[20]
Setelah itu, maka syaitan
membisikkan kepada mereka berdua supaya menampakkan kepada mereka akan aurat
mereka yang tertutup daripada mereka, sambil dia berkata “Tidaklah Tuhan kamu
melarang kamu dari pohon ini, melainkan kamu berdua akan menjadi malaikat atau
menjadi dari kalangan orang-orang yang hidup kekal”
[21]
Dan dia bersumpah kepada keduanya
“Sesungguhnya aku dari mereka yang memberikan nasihat kepada kamu berdua”
[22]
Dengan sebab itu, berjayalah dia
menjatuhkan mereka berdua dengan tipu dayanya. Tatkala keduanya telah merasakan
(dari) pohon tersebut, terdedahlah kepada keduanya akan aurat masing-masing, dan
mereka mulalah menutupnya dengan daun-daun Taman. Dan Tuhan mereka menyeru
mereka “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu, dan katakan
kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?”
[23]
Mereka berdua merayu “Wahai Tuhan
kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak
mengampuni kami dan memberikan rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari
kalangan orang-orang yang rugi”
[24]
Berfirman “Turunlah, sebahagian
kamu akan menjadi musuh sebahagian yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat
kediaman di bumi, dan mendapat rezeki hingga ke suatu masa”
[25]
Dia berfirman lagi “Di situ kamu
akan hidup dan di situ kamu akan mati, dan daripadanya juga kamu akan
dikeluarkan”
[26]
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya
Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian bagi menutup aurat kamu, dan pakaian
perhiasan. Dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang
demikian itu termasuk tanda-tanda kekuasaan Allah supaya mereka mengenangnya.
[27]
Wahai anak-anak Adam! Janganlah
kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu
bapa kamu dari Syurga, sambil menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua
bagi memperlihatkan kepada mereka aurat mereka. Sesungguhnya dia dan kaumnya
melihat kamu dengan keadaan kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami
telah jadikan syaitan-syaitan, teman bagi orang-orang yang tidak beriman.
[28]
Dan apabila mereka melakukan suatu
perbuatan keji, mereka berkata “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan
Allah perintahkan kami mengerjakannya” Katakanlah “Sesungguhnya Allah tidak
sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan keji. Patutkah kamu mengatakan
terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui?”
[29]
Katakanlah “Tuhanku menyuruh berlaku
adil. Dan hadapkanlah muka kamu dengan betul di setiap masjid (mendirikan
sembahyang), dan beribadatlah kepadaNya dengan mengikhlaskan amal agama kamu
kepadaNya semata-mata. Sebagaimana Dia telah menjadikan kamu pada mulanya, kamu
akan kembali"
[30]
Sebahagian diberikan petunjuk oleh
Allah. Dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka, kerana
sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan, sekutu-sekutu selain
Allah. Dan mereka menyangka pula, bahawa mereka berada dalam petunjuk.
[31]
Wahai anak-anak Adam! Pakailah
pakaian kamu yang indah berhias di setiap masjid, dan makanlah dan minumlah,
dan janganlah kamu melampaui. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang
yang melampaui batas.
[32]
Katakanlah “Siapakah yang
mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya,
dan demikian juga benda-benda baik lagi halal?” Katakanlah “Semua itu untuk
orang-orang beriman dalam kehidupan dunia, khususnya pada hari kiamat”
Demikianlah Kami jelaskan tanda-tanda Kami satu persatu bagi orang-orang yang
mengetahui.
[33]
Katakanlah “Sesungguhnya Tuhanku
hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.
Dan perbuatan dosa, dan penindasan tanpa alasan yang benar, kamu
mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah sedang Dia tidak menurunkan sebarang
keterangan membenarkannya, dan kamu mengatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu
tidak ketahui.
[34]
Dan bagi tiap-tiap umat ada waktu,
dan apabila tiba waktunya, tidak dapat mengundurkannya walaupun sesaat, dan
tidak juga dapat mendahulukannya.
[35]
Wahai anak-anak Adam! Jika datang
kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu
ayat-ayatKu, maka sesiapa yang bertakwa dan memperbaiki, tidak ada kebimbangan
terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[36]
Dan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat Kami, dan yang angkuh terhadapnya, merekalah penghuni neraka, mereka
kekal di dalamnya.
[37]
Dan tidak ada yang lebih zalim
daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya.
Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka dari apa yang telah tersurat,
sehingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami yang mengambil nyawa
mereka, bertanyalah mereka “Dimanakah yang kamu pohon selain Allah?” Mereka menjawab
“Semuanya telah hilang lenyap daripada kami” Dan mereka menjadi saksi terhadap
diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.
[38]
Dia berfirman “Masuklah kamu ke
dalam neraka bersama umat-umat terdahulu daripada kamu, dari kalangan jin dan
manusia" Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya.
Sehingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan akhir
mengenai golongan pertama di antara mereka “Wahai Tuhan kami, mereka inilah
yang telah menyesatkan kami. Oleh itu, berikanlah kepada mereka azab seksa dua
kali ganda dari neraka” Dia berfirman “Kamu masing-masing disediakan dua kali
ganda tetapi kamu tidak mengetahui”
[39]
Dan berkatalah pula golongan
pertama di antara mereka kepada golongan akhir “Bahkan tidak ada bagi kamu
sebarang kelebihan atas kami. Oleh itu, rasakanlah kamu azab seksa disebabkan
apa yang kamu telah usahakan”
[40]
Sesungguhnya orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami, dan yang angkuh terhadapnya, tidak sekali-kali akan
dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka pula tidak akan memasuki
Syurga sehinggalah unta masuk ke dalam lubang jarum, dan demikianlah Kami
membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.
[41]
Bagi mereka tikar tidur dari api
neraka, dan di atas mereka selimut penutup, dan demikianlah Kami membalas
orang-orang yang zalim.
[42]
Dan orang-orang yang beriman dan
berbuat baik, Kami tidak memberati diri seseorang melainkan sekadar yang
terdaya olehnya. Merekalah penghuni Syurga, mereka kekal di dalamnya.
[43]
Dan Kami cabut segala dendam dan
hasad dengki daripada hati mereka. Mengalir beberapa sungai di bawah
masing-masing, dan mereka akan berkata “Segala puji bagi Allah yang telah
memberikan petunjuk untuk ini, padahal kami tidak sekali-kali akan beroleh petunjuk
sekiranya Allah tidak memimpin kami. Demi sesungguhnya telah datang Rasul-rasul
Tuhan kami dengan kebenaran” Dan mereka diseru “Itulah Syurga yang diberikan
kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”
[44]
Dan berserulah ahli syurga kepada
ahli neraka dengan berkata “Sesungguhnya kami telah mendapat apa yang telah
dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya benar. Maka adakah kamu juga
telah mendapat apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya benar?”
Mereka menjawab “Benar” Kemudian berserulah penyeru di kalangan mereka mengatakan
“Bahawasanya laknat Allah tertimpa atas orang-orang yang zalim”
[45]
Iaitu mereka yang menghalangi dari
menuruti jalan Allah, dan mencari-cari helah menjadikan ia bengkok terpesong,
sedang mereka tidak percayakan hari akhirat.
[46]
Dan di antara mereka terdapat
tembok Al-A’raaf, dan di atasnya terdapat sebilangan orang yang mengenali
tiap-tiap orang dengan tanda masing-masing. Dan mereka menyeru penghuni Syurga
“Salaamun Alaikum” Sedang mereka sendiri belum lagi memasukinya, sedang mereka
mengingininya.
[47]
Dan apabila dialihkan pandangan
mereka ke arah penghuni neraka, mereka berkata “Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau tempatkan kami bersama orang-orang yang zalim itu”
[48]
Dan orang-orang yang berada di
atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang yang mereka kenal melalui tandanya
dengan berkata “Nampaknya apa yang kamu kumpul dan segala apa yang kamu
sombongkan dahulu tidak dapat menolong kamu.
[49]
Itukah orang-orang yang kamu
ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah pula bahawa mereka tidak akan beroleh
rahmat daripada Allah?" (Kepada yang menanya) “Masuklah kamu ke dalam
Syurga, tidak ada kebimbangan terhadap kamu, dan tidak pula kamu bersedih hati”
[50]
Dan penghuni neraka menyeru
penghuni Syurga “Limpahkanlah kepada kami sedikit air atau apa yang telah
dikurniakan Allah kepada kamu” Mereka menjawab “Sesungguhnya Allah telah
mengharamkan kedua-duanya atas orang-orang yang kafir”
[51]
(Iaitu) orang-orang yang
menjadikan perkara agama mereka sebagai permainan dan senda gurau, dan juga
orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia. Maka pada hari ini,
Kami lupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan dengan hari ini, dan
juga kerana mereka selalu menolak ayat-ayat keterangan Kami.
[52]
Dan sesungguhnya, Kami telah
mendatangkan kepada mereka sebuah Kitab yang Kami telah jelaskan satu persatu
berdasarkan pengetahuan untuk menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang
beriman.
[53]
Tidak ada perkara yang mereka
tunggu melainkan akibat atau kesudahan. Pada hari datangnya akibat atau
kesudahan itu, berkatalah orang-orang yang telah melupakannya dahulu “Demi sesungguhnya
telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan kebenaran, maka adakah untuk kami
pemberi syafaat supaya mereka memberikan syafaat untuk kami atau kami
dikembalikan supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah
kerjakan?” Demi sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan
telah lenyaplah daripada mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.
[54]
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah
Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam
di atas Arasy. Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan
cepat. Dan matahari, dan bulan, dan bintang-bintang, tunduk kepada perintahNya.
Ingatlah, kepada Dia jualah tertentu urusan menciptakan dan urusan
pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbir sekalian alam.
[55]
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan
merendahkan diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada
orang-orang yang melampaui batas.
[56]
Dan janganlah kamu berbuat
kerosakan di bumi sesudah ia diperelokkan, dan berdoalah kepadaNya dengan
perasaan bimbang dan dengan perasaan terlalu mengharap. Sesungguhnya rahmat
Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
[57]
Dan Dialah yang menghantarkan
angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum rahmatNya, sehingga
apabila ia membawa awan yang berat, Kami halakan ia ke tanah yang mati, lalu
Kami turunkan air daripadanya, kemudian Kami keluarkan daripadanya
berbagai-bagai jenis buah-buahan. Sedemikian itulah juga Kami mengeluarkan
orang-orang yang telah mati supaya kamu beringat.
[58]
Dan tanah yang baik,
tanaman-tanamannya tumbuh dengan izin Tuhannya. Dan tanah yang tidak baik,
tidak tumbuh melainkan bermasalah. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda
Kami bagi orang-orang yang bersyukur.
[59]
Demi sesungguhnya, Kami telah
mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia “Wahai kaumku!
Sembahlah Allah, tidak ada Tuhan bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya aku bimbang
kamu akan ditimpa azab hari yang besar”
[60]
Ketua-ketua dari kaumnya berkata
“Sesungguhnya kami melihatmu berada dalam kesesatan yang nyata”
[61]
Dia menjawab “Wahai Kaumku! Tidak
ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan
sekalian alam.
[62]
Aku menyampaikan kepada kamu
perintah-perintah Tuhanku, dan memberikan nasihat kepada kamu, sedang aku
mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[63]
Adakah kamu merasa ragu-ragu dan
hairan mengenai datangnya kepada kamu suatu peringatan daripada Tuhan kamu
melalui seorang lelaki dari golongan kamu, bahawa dia memberi peringatan kepada
kamu, dan supaya kamu bertakwa, dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”
[64]
Mereka terus mendustakannya, lalu
Kami selamatkan dia berserta orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan
Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka
itu adalah kaum yang buta.
[65]
Dan kepada kaum Aad, saudara
mereka, Nabi Hud. Dia berkata “Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidak ada Tuhan
bagi kamu selain Dia. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa?”
[66]
Ketua-ketua yang kafir dari
kaumnya berkata “Sesungguhnya kami melihatmu berada dalam kebodohan, dan
sesungguhnya kami menganggap engkau termasuk orang-orang yang berdusta”
[67]
Dia menjawab “Wahai kaumku! Tidak
ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan
sekalian alam.
[68]
Aku menyampaikan kepada kamu
perintah-perintah Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah bagi
kamu.
[69]
Adakah kamu merasa ragu-ragu dan
hairan mengenai datangnya kepada kamu suatu peringatan daripada Tuhan kamu
melalui seorang lelaki dari golongan kamu, bahawa dia memberi peringatan kepada
kamu? Dan kenangkanlah ketika Dia menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah
kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan pada bentuk tubuh
badan. Oleh itu, kenangkanlah akan nikmat-nikmat Allah itu supaya kamu berjaya”
[70]
Mereka berkata “Adakah engkau
datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan
meninggalkan apa yang pernah disembah datuk nenek kami? Maka datangkanlah apa
(azab) yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari kalangan
orang-orang yang benar”
[71]
Dia menjawab “Demi sesungguhnya,
telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan daripada Tuhan kamu. Adakah
kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama (berhala) yang hanya kamu dan
datuk nenek kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan
sebarang bukti yang membenarkannya? Oleh itu tunggulah, sesungguhnya aku juga
dari kalangan orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”
[72]
Lalu Kami selamatkan dia berserta
orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat daripada Kami, dan Kami putuskan
keturunan orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami. Dan mereka bukanlah
orang-orang yang beriman.
[73]
Dan kepada kaum Thamud saudara
mereka, Nabi Soleh. Dia berkata “Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tiada Tuhan
bagi kamu selain Dia. Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti yang nyata
daripada Tuhan kamu. Ini adalah seekor unta betina Allah sebagai suatu tanda
bagi kamu. Oleh itu, biarkanlah unta itu makan di bumi Allah, dan janganlah
kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitkan. Maka kamu akan ditimpa azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
[74]
Dan kenangkanlah ketika Dia
menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan ditempatkan kamu di
muka bumi untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu
memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Oleh itu, kenangkanlah
nikmat-nikmat Allah itu, dan janganlah kamu bermaharajalela menyebarkan
kerosakan di muka bumi”
[75]
Ketua-ketua sombong dari kaumnya
berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah, iaitu orang-orang yang telah
beriman di kalangan mereka “Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutuskan daripada
Tuhannya?” Mereka menjawab “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang dia
diutuskan untuk menyampaikannya”
[76]
Orang-orang yang sombong itu
berkata “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan apa yang kamu beriman kepadanya”
[77]
Kemudian mereka menyembelih unta
tersebut, dan mereka menderhakai perintah Tuhan mereka sambil mereka berkata
“Hai Soleh! Datangkanlah apa yang engkau telah janjikan kepada kami jika betul
engkau dari Rasul-rasul yang diutuskan”
[78]
Lalu mereka dibinasakan gempa
bumi, maka menjadilah mereka mayat-mayat tersungkur di tempat tinggal
masing-masing.
[79]
Kemudian dia meninggalkan mereka
sambil dia berkata “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu amanat
Tuhanku dan memberikan nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada
orang-orang yang memberikan nasihat”
[80]
Dan Nabi Lut, tatkala dia berkata
kepada kaumnya “Patutkah kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah
dilakukan oleh seseorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
[81]
Sesungguhnya kamu mendatangi
lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan. Bahkan
kamu ini, kaum yang melampaui batas”
[82]
Dan tidak ada jawapan daripada
kaumnya selain mereka berkata “Usirlah mereka dari bandar kamu ini,
sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mensucikan diri”
[83]
Lalu Kami selamatkan dia berserta
keluarganya melainkan isterinya, dia termasuk orang-orang yang ditinggalkan.
[84]
Dan Kami hujani mereka dengan
hujan (batu). Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan
kesalahan.
[85]
Dan kepada penduduk Madyan saudara
mereka, Nabi Syuaib. Dia berkata “Wahai kaumku sembahlah Allah, tiada Tuhan
bagi kamu selain Dia. Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti yang nyata
daripada Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan
janganlah kamu kurangkan bagi manusia apa-apa yang menjadi haknya. Dan
janganlah pula kamu menyebarkan kerosakan di muka bumi sesudah ia diperelokkan.
Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang
beriman.
[86]
Dan janganlah kamu duduk di
tiap-tiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalangi dari jalan Allah,
orang-orang yang beriman kepadaNya, dan menghendaki pula supaya ia bengkok
terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya, lalu Dia
menjadikan kamu berkembang ramai, dan perhatikanlah juga kesudahan orang-orang
yang berbuat kerosakan.
[87]
Dan jika ada segolongan dari kamu
beriman kepada apa yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan
segolongan lagi tidak beriman, maka bersabarlah sehingga Allah menghakimi di
antara kita semua. Dan Dialah jua sebaik-baik hakim”
[88]
Ketua-ketua sombong dari kaumnya
berkata “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib berserta orang-orang
beriman yang bersamamu dari negeri kami ini, atau kamu kembali kepada agama
kami” Dia menjawab “Adakah, sekalipun kami tidak menyukai?
[89]
Demi sesungguhnya kami berdusta
kepada Allah, jika kami berpindah kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan
kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali,
kecuali jika Allah Tuhan kami menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi
tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami,
berikanlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran. Dan Engkaulah
jua sebaik-baik yang memberikan keputusan”
[90]
Dan berkatalah pula ketua-ketua
yang kafir sesama kaumnya “Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib, nescaya kamu
dengan perbuatan yang demikian menjadi orang-orang yang rugi”
[91]
Lalu mereka dibinasakan gempa, dan
menjadilah mereka mayat-mayat tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
[92]
Orang-orang yang mendustakan Nabi
Syuaib, seolah-olah mereka belum pernah mendiami negeri tersebut. Orang-orang
yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.
[93]
Kemudian dia meninggalkan mereka
sambil berkata “Wahai kaumku! Demi sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada
kamu perintah-perintah Tuhanku, dan menasihati kamu. Oleh itu, bagaimanakah aku
hendak bersedih terhadap orang-orang yang kafir”
[94]
Dan tidaklah Kami mengutuskan di dalam
sesebuah negeri seorang Nabi, melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan
dan penderitaan supaya mereka tunduk merendah diri.
[95]
Setelah Kami gantikan yang buruk
dengan yang baik sehingga mereka berkembang biak dan berkata “Demi sesungguhnya
datuk nenek kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan” Lalu Kami
timpakan seksaan atas mereka secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya.
[96]
Dan jika penduduk negeri itu
beriman dan bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka apa yang
melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan, maka
Kami timpakan mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
[97]
Patutkah penduduk negeri-negeri
itu merasa aman dari kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa
mereka sedang tidur?
[98]
Atau patutkah penduduk negeri-negeri
itu merasa aman dari kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa
mereka leka bermain-main?
[99]
Patutkah mereka sehingga mereka
merasa aman akan rancangan yang diaturkan Allah? Kerana sesungguhnya tidak ada
yang akan merasa aman dari rancangan yang diaturkan Allah itu melainkan
orang-orang yang rugi.
[100]
Adakah belum jelas lagi bagi
orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya, bahawa jika Kami
kehendaki tentulah Kami akan timpakan mereka dengan azab disebabkan dosa-dosa
mereka, dan Kami kunci hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar?
[101]
Negeri-negeri itu, Kami ceritakan
sebahagian dari khabar beritanya kepadamu. Dan sesungguhnya telah datang kepada
mereka Rasul-rasul mereka dengan bukti-bukti yang nyata. Sesudah itu, mereka
tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah dustakan sebelumnya.
Demikianlah Allah mengunci hati orang-orang yang kafir.
[102]
Dan Kami tidak mendapati
kebanyakan mereka memenuhi janji, tetapi Kami mendapati kebanyakan mereka
orang-orang yang fasik.
[103]
Kemudian Kami utuskan pula Nabi
Musa selepas mereka, dengan membawa tanda-tanda Kami kepada Firaun dan
Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim terhadapnya. Maka perhatikanlah
kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.
[104]
Dan berkatalah Nabi Musa “Wahai
Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.
[105]
Sudah semestinya aku tidak
mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Demi sesungguhnya aku
datang kepada kamu dengan membawa tanda nyata daripada Tuhan kamu. Oleh itu,
bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku"
[106]
Dia menjawab “Kalau betul engkau
datang dengan membawa suatu tanda, maka bawakanlah ia jika betul engkau dari
kalangan orang-orang yang benar”
[107]
Lalu dia (Nabi Musa) mencampakkan
tongkatnya, maka dengan tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang
nyata.
[108]
Dan dia mengeluarkan tangannya,
maka dengan tiba-tiba tangannya itu putih bercahaya bagi orang-orang yang
melihatnya.
[109]
Berkatalah Ketua-ketua dari kaum
Firaun “Sesungguhnya orang ini seorang ahli sihir yang mahir.
[110]
Dia bertujuan mengeluarkan kamu
dari tanah kamu” (Firaun berkata) “Oleh itu, apakah yang kamu syorkan?”
[111]
Mereka berkata “Tangguhkanlah dia
berserta saudaranya, dan utuskanlah ke bandar-bandar beberapa orang yang akan
mengumpulkan.
[112]
Yang kelak akan membawakan
kepadamu semua ahli sihir yang mahir”
[113]
Kemudian datanglah ahli-ahli sihir
itu kepada Firaun. Mereka berkata “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau
kamilah yang menang?”
[114]
Dia menjawab “Benar, dan kamu
sesungguhnya termasuk orang-orang yang rapat”
[115]
Mereka berkata “Hai Musa!
Engkaukah yang akan mencampakkan atau kamikah yang akan mencampakkan?”
[116]
Dia menjawab “Campakkanlah!” Maka
apabila mereka mencampakkan, mereka menyilap mata orang ramai, dan menjadikan
orang-orang itu merasa gerun, dan telah melakukan sihir yang besar.
[117]
Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa
“Campakkanlah tongkatmu!” Lalu dengan tiba-tiba ia menelan apa yang mereka
telah ada-adakan.
[118]
Maka nyatalah yang benar, dan
batallah apa yang mereka telah lakukan.
[119]
Oleh itu, kalahlah mereka di situ
dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
[120]
Dan ahli-ahli sihir dengan
sendirinya merebahkan diri bersujud,
[121]
Mereka berkata “Kami beriman
kepada Tuhan sekalian alam.
[122]
Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun”
[123]
Firaun berkata “Patutkah kamu
beriman kepadanya sebelum aku memberikan keizinan kepada kamu? Sesungguhnya ini
adalah perbuatan tipu daya yang kamu rancangkan di dalam bandar ini kerana kamu
hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu, kelak kamu akan
mengetahui.
[124]
Demi sesungguhnya, aku akan
memotong tangan dan kaki kamu secara bersilang, kemudian aku akan memalang kamu
semuanya”
[125]
Mereka menjawab “Sesungguhnya kepada
Tuhanlah kami kembali.
[126]
Dan tidaklah engkau memarahi kami
melainkan kerana kami beriman kepada tanda-tanda Tuhan kami ketika ia sampai
kepada kami” “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah sabar kepada kami, dan matikanlah
kami dalam keadaan berserah diri (Islam)”
[127]
Dan berkatalah pembesar-pembesar
dari kaum Firaun “Adakah engkau hendak membiarkan Musa dan kaumnya melakukan kerosakan
di bumi dan meninggalkanmu berserta tuhan-tuhanmu?” Dia menjawab “Kita akan
bunuh anak-anak lelaki mereka, dan kita biarkan perempuan mereka, dan
sesungguhnya kita berkuasa penuh terhadap mereka”
[128]
Musa berkata kepada kaumnya
“Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini
kepunyaan Allah, diwariskanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari kalangan
hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa”
[129]
Mereka berkata “Kami telah dianiaya
dan diperhambakan sebelum engkau datang kepada kami, dan sesudah engkau datang
kepada kami” Dia menjawab “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh
kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian memerhatikan pula bagaimana
perbuatan kamu?”
[130]
Dan sesungguhnya, Kami telah
menimpakan Firaun dan kaumnya musim kemarau dan kekurangan buah-buahan supaya
mereka mengambil pengajaran.
[131]
Dan apabila datang kepada mereka
kesenangan, mereka berkata “Ini adalah untuk kami” Dan jika pula mereka ditimpa
kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan Nabi Musa berserta
pengikut-pengikutnya. Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu
hanya tertentu di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[132]
Dan mereka berkata “Biar apapun
tanda yang engkau bawakan kepada kami untuk menjalankan sihirmu kepada kami,
maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”
[133]
Lalu Kami hantarkan lagi kepada
mereka banjir, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda
yang jelas. Dan mereka tetap jua berlaku sombong. Dan mereka itu kaum yang
menderhaka.
[134]
Dan tatkala azab tersebut menimpa
mereka, mereka berkata “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami
dengan apa yang dijanjikanNya kepadamu. Jika engkau hapuskan azab itu daripada
kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan
membebaskan kaum Bani Israil bersamamu”
[135]
Setelah Kami hapuskan azab itu
daripada mereka, sehingga ke suatu masa tertentu yang mereka tiba kepadanya, tiba-tiba
mereka mencabuli.
[136]
Lalu Kami balas mereka, dan Kami
tenggelamkan mereka di dalam laut dengan sebab mereka mendustakan tanda-tanda
Kami, dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
[137]
Dan Kami wariskan kepada kaum yang
telah tertindas itu daerah-daerah bahagian timur bumi dan bahagian baratnya,
yang Kami telah limpahkan berkat padanya. Maka telah sempurnalah Kalimah
Tuhanmu yang baik kepada kaum Bani Israil disebabkan kesabaran mereka, dan Kami
telah hancurkan apa yang telah dilakukan Firaun dan kaumnya berserta apa yang
mereka telah dirikan.
[138]
Dan Kami bawakan Bani Israil itu
ke sebarang Laut, lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah
berhala-berhalanya. Mereka berkata “Wahai Musa adakanlah untuk kami satu tuhan
(berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan” Dia menjawab
“Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
[139]
Sesungguhnya mereka akan
dihancurkan oleh kepercayaan yang mereka anuti, dan akan batallah apa yang
selalu mereka kerjakan”
[140]
Dia berkata lagi “Patutkah aku
mencari tuhan untuk kamu selain Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu di
atas muka bumi?”
[141]
Dan juga ketika Kami selamatkan
kamu daripada Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang
seberat-berat dan seburuk-buruknya. Mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan
membiarkan perempuan kamu. Dan pada yang demikian itu mengandungi cubaan yang
besar daripada Tuhan kamu.
[142]
Dan Kami telah janjikan kepada
Nabi Musa selama tiga puluh malam, dan Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh
lagi, maka sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh
malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun “Gantikanlah aku
dalam kaumku dan perbaikilah, dan janganlah turuti jalan orang-orang yang
melakukan kerosakan”
[143]
Dan ketika Nabi Musa datang pada
waktu yang Kami telah tentukan, dan Tuhannya berkata-kata dengannya. Dia
berkata “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku supaya aku dapat melihatMu” Dia
berfirman “Engkau tidak sekali-kali akan melihatKu, tetapi pandanglah ke arah
gunung itu. Dan jika ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat
melihatKu” Tatkala Tuhannya menzahirkan kemuliaan kepada gunung tersebut, Dia
menjadikan gunung tersebut hancur lebur dan Nabi Musa jatuh pengsan. Setelah
dia sedar semula, berkatalah dia “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepadaMu, dan
akulah orang yang awal sekali beriman”
[144]
Dia berfirman “Wahai Musa!
Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia dengan membawa perutusanKu dan
firman-firmanKu. Oleh itu, berpeganglah kepada apa yang Aku kurniakan kepadamu,
dan jadikanlah dirimu dari kalangan orang-orang yang bersyukur”
[145]
Dan Kami tuliskan baginya pada
Lauh-lauh itu (Taurat), dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan
bagi tiap-tiap sesuatu "Oleh itu, berpeganglah kepadanya dengan teguh, dan
suruhlah kaummu berpegang dengan sebaik-baiknya. Aku akan perlihatkan kepada
kamu tempat tinggal orang-orang yang fasik derhaka”
[146]
Aku akan memalingkan orang-orang
yang sombong di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tandaKu. Dan
mereka jika melihat sebarang tanda, mereka tidak beriman kepadanya, dan mereka
jika melihat jalan yang benar, mereka tidak mahu menempuhnya. Dan sebaliknya
mereka jika melihat jalan yang salah, mereka menempuhnya. Yang demikian itu
kerana mereka mendustakan tanda-tanda Kami, dan mereka sentiasa lalai
daripadanya.
[147]
Dan orang-orang yang mendustakan
tanda-tanda Kami dan pertemuan hari akhirat, sia-sialah amal mereka. Mereka
akan diberikan balasan melainkan untuk apa yang mereka telah kerjakan.
[148]
Dan kaum Nabi Musa, sesudah
pemergiannya, mereka mengambil (menyembah) daripada barang-barang perhiasan
mereka, anak lembu yang bertubuh lagi bersuara “Tidakkah mereka memerhatikan
bahawa ia tidak dapat berkata-kata kepada mereka, dan tidak juga dapat
menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka mengambilnya dan sememangnya mereka
adalah orang-orang yang melakukan kezaliman”
[149]
Dan setelah mereka menyesal dan
mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah mereka “Jika Tuhan kami tidak
memberikan rahmat kepada kami dan mengampuni kami, nescaya menjadilah kami dari
kalangan orang-orang yang rugi”
[150]
Dan apabila Nabi Musa kembali
kepada kaumnya dengan kemarahan dan kedukacitaan, berkatalah dia “Amatlah buruk
apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku. Apakah kamu tidak sabar dalam
urusan Tuhan kamu?” Dan dia meletakkan Lauh-lauh itu, dan memegang kepala
saudaranya sambil menarik kepadanya. Dia (Nabi Harun) berkata “Wahai anak
ibuku! Sesungguhnya kaum ini memandangku lemah, dan nyaris-nyaris mereka
membunuhku. Oleh itu, janganlah jadikan musuh bergembira melihat terhadapku,
dan menjadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”
[151]
Dia berdoa dengan berkata “Wahai
Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam
rahmatMu. Dan Engkaulah sahaja Yang Maha Penyayang di antara para penyayang”
[152]
Sesungguhnya orang-orang yang
mengambil anak lembu itu akan ditimpa kemurkaan Tuhan mereka dan kehinaan dalam
kehidupan dunia. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang mengada-adakan.
[153]
Dan orang-orang yang melakukan
kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu dan beriman, sesungguhnya Tuhanmu
sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[154]
Dan apabila kemarahan Nabi Musa
itu reda, dia mengambil semula Lauh-lauh itu yang tulisannya terkandung
petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang takut kepada Tuhannya.
[155]
Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh
orang lelaki dari kaumnya pada waktu yang telah Kami tentukan. Maka ketika
mereka digegarkan gempa, dia merayu dengan berkata “Wahai Tuhanku! Sekiranya
Engkau kehendaki, Engkau boleh saja binasakan mereka bersama-sama denganku
sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah
dilakukan oleh orang-orang bodoh di antara kami? Itu hanya cubaanMu. Dengannyalah
Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau berikan petunjuk
kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah pelindung kami, oleh itu ampunilah
kami dan berikanlah rahmat kepada kami. Dan Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi
keampunan.
[156]
Dan tetapkanlah untuk kami
kebaikan di dunia ini dan di akhirat, sesungguhnya kami kembali kepadaMu” Dia
berfirman “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu
meliputi tiap-tiap sesuatu, dan Aku akan tetapkan ia untuk orang-orang yang bertakwa,
dan yang menunaikan zakat, dan juga orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat
Kami.
[157]
Iaitu orang-orang yang mengikut
Rasulullah Nabi Ummi, yang mereka dapatinya tertulis di dalam Taurat dan Injil
yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara baik, dan
melarang mereka dari melakukan perkara-perkara keji. Dan dia menghalalkan bagi
mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang
buruk. Dan dia juga menghapuskan daripada mereka bebanan-bebanan dan
belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman
kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, dan mengikut cahaya yang
diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[158]
Katakanlah “Wahai sekalian
manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua. Yang
menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan melainkan Dia. Yang menghidupkan dan
mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Ummi yang
beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya. Dan ikutilah dia supaya kamu
beroleh petunjuk”
[159]
Dan di antara kaum Nabi Musa,
terdapat satu golongan yang memberikan petunjuk dengan perkara-perkara yang
hak, yang dengannya mereka mengadakan keadilan.
[160]
Dan Kami bahagikan mereka menjadi
dua belas suku sebagai golongan-golongan besar. Dan Kami wahyukan kepada Nabi
Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”
Lalu terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan mengetahui
tempat minum masing-masing. Dan Kami naungi pula mereka dengan awan, dan Kami
turunkan kepada mereka Mann dan Salwa “Makanlah yang baik-baik dari apa yang
Kami telah kurniakan kepada kamu” Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, tetapi
merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
[161]
Dan ketika dikatakan kepada mereka
“Tinggallah di dalam bandar ini dan makanlah daripadanya apa sahaja yang kamu
sukai, dan berkata ‘Ampunkanlah’ Dan masuklah melalui pintu itu dengan
bersujud, supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami juga akan menambahkan
orang-orang yang berbuat baik”
[162]
Tetapi orang-orang zalim di antara
mereka menukarkan dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka, maka
Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka dengan sebab kezaliman yang
mereka lakukan.
[163]
Dan bertanyalah kepada mereka
mengenai bandar yang letaknya di tepi laut semasa mereka melanggar larangan
pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu ikan-ikan mereka
yang kelihatan timbul, sedang pada hari-hari lain, ia tidak datang kepada
mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka sentiasa berlaku fasik.
[164]
Dan ketika segolongan di antara
mereka berkata “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka
atau mengazab mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang itu menjawab
“Supaya kami mempunyai alasan kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertakwa”
[165]
Dan tatkala mereka melupakan apa
yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang
melarang dari perbuatan jahat berkenaan, dan Kami timpakan orang-orang yang
zalim dengan azab seksa yang amat berat disebabkan mereka berlaku fasik.
[166]
Dan setelah mereka berlaku sombong
kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami firmankan kepada
mereka “Jadilah kera yang hina”
[167]
Dan ketika Tuhanmu menyatakan,
bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada mereka (kaum Yahudi) sehingga
hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara
seburuk-buruknya. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat menimpakan balasan, dan
sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[168]
Dan Kami pecahkan mereka
berpuak-puak di dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya
juga yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan kebaikan dan keburukan
supaya mereka kembali.
[169]
Lalu datanglah sesudah mereka
generasi yang mewarisi Kitab, yang mengambil harta benda yang rendah (nilainya)
sambil berkata “Akan diampunkan untuk kami” Padahal jika datang kepada mereka
harta benda seperti itu lagi, mereka akan mengambilnya juga. Bukankah telah
diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam Kitab bahawa mereka tidak
akan memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka juga telah
mempelajari apa yang terkandung di dalamnya, dan negeri akhirat itu lebih baik
bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?
[170]
Dan orang-orang yang berpegang
teguh dengan Kitab (Allah) dan mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak
akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki.
[171]
Dan ketika Kami angkatkan gunung
di atas mereka seolah-olah gunung itu awan, dan mereka merasa bahawa ia akan
jatuh menimpa mereka “Terimalah dengan bersungguh-sungguh apa yang telah Kami
berikan kepada kamu, dan ingatlah apa yang terkandung di dalamnya supaya kamu
menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah”
[172]
Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan
keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka, dan menjadikan mereka saksi
terhadap diri mereka sendiri “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab
“Benar, kami menjadi saksi” Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari
kiamat kelak "Sesungguhnya kami adalah orang yang lalai mengenai ini”
[173]
Atau kamu mengatakan “Sesungguhnya
ibu bapa kamilah yang melakukan syirik terlebih dahulu, sedang kami ialah
keturunan yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau
hendak binasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?”
[174]
Dan demikianlah Kami jelaskan
ayat-ayat keterangan satu persatu, dan supaya mereka kembali.
[175]
Dan bacakanlah kepada mereka
khabar berita seorang yang Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami. Kemudian dia
menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti bisikan
syaitan, dan menjadi dari kalangan orang-orang yang sesat.
[176]
Dan sekiranya Kami kehendaki,
nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ini. Tetapi dia bermati-matian
cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya. Maka bandingannya seperti
anjing, jika engkau menyerangnya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah.
Dan jika engkau membiarkannya, ia juga termengah-mengah menghulurkan lidahnya.
Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami. Maka
ceritakanlah kisah-kisah tersebut supaya mereka berfikir.
[177]
Amatlah buruk bandingan
orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami, dan mereka pula berlaku zalim
kepada diri mereka sendiri.
[178]
Sesiapa yang diberikan petunjuk
oleh Allah, maka dialah yang beroleh petunjuk. Dan sesiapa yang disesatkanNya,
maka merekalah orang-orang yang rugi.
[179]
Dan demi sesungguhnya, Kami
jadikan untuk neraka Jahannam, kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai
hati, tetapi tidak menggunakannya untuk memahami, dan mempunyai mata tidak
menggunakannya untuk melihat dan mempunyai telinga tidak menggunakannya untuk
mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka
itulah orang-orang yang lalai.
[180]
Dan Allah mempunyai nama-nama yang
baik, maka mohonlah kepadaNya dengan menyebutnya, dan pulaukanlah orang-orang
yang menyimpang berkaitan nama-namaNya itu. Mereka akan mendapat balasan
mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
[181]
Dan di kalangan orang-orang yang
Kami ciptakan itu, terdapat satu umat yang memberikan petunjuk dengan
kebenaran, dan dengannya juga mereka mengadakan keadilan.
[182]
Dan orang-orang yang mendustakan
tanda-tanda Kami, Kami akan tarik mereka sedikit demi sedikit, menurut cara
yang mereka tidak ketahui.
[183]
Dan Aku berikan tempoh kepada
mereka, sesungguhnya rancanganKu amatlah teguh.
[184]
Patutkah mereka tidak mahu memikirkan
sahabat mereka yang tidak sekali-kali menghidap penyakit gila, tetapi dia
hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas.
[185]
Patutkah mereka tidak mahu
memerhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan Allah, dan
kebarangkalian telah dekat masa mereka? Maka kepada perkataan mana lagikah
sesudah itu mereka mahu beriman?
[186]
Sesiapa yang disesatkan Allah, maka
tidak ada petunjuk untuknya, dan Dia membiarkan mereka meraba-raba dalam
kesesatan mereka.
[187]
Mereka bertanyakan kepadamu
mengenai Saat (hari kiamat) “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah “Sesungguhnya
pengetahuan mengenainya hanya di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapapun yang dapat
menerangkan waktunya melainkan Dia. Ia amatlah berat di langit dan di bumi. Ia
tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut” Mereka bertanyakan (lagi)
kepadamu seolah-olah engkau benar-benar mengetahuinya. Katakanlah “Sesungguhnya
pengetahuan mengenainya ialah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui”
[188]
Katakanlah “Aku tidak berkuasa mendatangkan
manfaat bagi diriku dan tidak juga mudarat melainkan apa yang dikehendaki
Allah. Dan kalaulah aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku akan
membuat kebajikan sebanyak-banyaknya, dan aku tidak akan ditimpa kesusahan. Aku
ini tidak lain hanyalah pemberi amaran dan pembawa berita gembira bagi
orang-orang yang beriman”
[189]
Dialah yang menciptakan kamu semua
daripada diri yang satu, dan mengadakan daripadanya pasangannya, supaya dia
mungkin hidup bersamanya. Ketika dia mencampurinya, mengandunglah dia dengan
kandungan yang ringan, dan teruslah dengan keadaan demikian. Kemudian ketika
dia merasa berat, berdoalah mereka berdua kepada Allah Tuhan mereka “Jika
Engkau mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang
yang bersyukur”
[190]
Kemudian apabila Dia mengurniakan
kepada keduanya nikmat yang baik, maka mereka menjadikan bagiNya sekutu dalam
apa yang Dia kurniakan kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka
sekutukan itu.
[191]
Patutkah mereka sekutukan dengan
benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang merekalah yang
diciptakan?
[192]
Dan ia tidak dapat menolong
mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.
[193]
Dan jika kamu menyerunya untuk
memperoleh petunjuk, ia tidak dapat menuruti kamu. Sama saja bagi kamu, sama
ada kamu menyerunya atau kamu mendiamkan diri.
[194]
Sesungguhnya benda-benda yang kamu
seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Maka serulah ia, dan
biarkanlah ia memberikan respon kepada kamu kalau betul kamu orang-orang yang
benar.
[195]
Adakah benda-benda itu mempunyai
kaki yang dengannya ia dapat berjalan, atau adakah ia mempunyai tangan yang
dengannya ia dapat memegang, atau adakah ia mempunyai mata yang dengannya ia
dapat melihat, atau adakah ia mempunyai telinga yang dengannya ia dapat
mendengar? Katakanlah “Serulah sekutu-sekutu kamu itu, kemudian jalankan tipu
daya terhadapku, dan janganlah memberikanku kesempatan.
[196]
Sesungguhnya Pelindungku ialah
Allah yang telah menurunkan Kitab, dan Dialah juga pelindung orang-orang yang
berbuat kebaikan”
[197]
Dan mereka yang kamu sembah selain
Dia, tidak akan dapat menolong kamu, dan tidak juga dapat menolong dirinya
sendiri.
[198]
Dan jika kamu menyerunya untuk
mendapatkan petunjuk, nescaya mereka tidak dapat mendengarnya. Dan engkau
nampak benda-benda itu memandangmu, padahal mereka tidak melihat.
[199]
Berpeganglah kepada kemaafan, dan
suruhlah kepada perkara yang baik, dan berpalinglah dari orang-orang yang
jahil.
[200]
Dan jika engkau dihasut oleh suatu
bisikan dari syaitan, maka mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[201]
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa,
apabila mereka disentuh oleh suatu imbasan bisikan dari syaitan, mereka ingat
(Allah) maka dengan itu mereka nampak.
[202]
Sedang saudara teman-teman mereka,
mereka (syaitan-syaitan) membenamkan mereka dalam kesesatan, dan mereka tidak
henti-henti.
[203]
Dan apabila engkau tidak bawakan
kepada mereka suatu tanda, berkatalah mereka “Mengapa engkau tidak
mengadakannya sendiri?” Katakanlah “Sesungguhnya aku hanya menuruti apa yang
diwahyukan kepadaku daripada Tuhanku. Ini adalah panduan-panduan yang membuka
hati daripada Tuhan kamu, dan petunjuk dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang
beriman”
[204]
Dan apabila Al-Quran itu
dibacakan, maka dengarlah, dan tumpukanlah perhatian terhadapnya supaya kamu
beroleh rahmat.
[205]
Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam
hatimu, dengan merendah diri dan perasaan takut, dan dengan tidak menyaringkan
suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah menjadi dari kalangan
orang-orang yang lalai.
[206]
Sesungguhnya mereka yang rapat
dengan Tuhanmu, mereka tidak bersikap angkuh dari beribadat kepadaNya, dan
mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka bersujud.